padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

Edisi Khas padinrose : 2016

/ December 31, 2016 /
Tak berapa lama lagi akan berakhir tahun 2016, dan seperti 4 - 5 tahun kebelakangan ini pasti banyak status rakan dan kenalan di media sosial berkait dengan kenangan 2016, azam 2017 dan seumpama. PR juga tidak mahu melepaskan peluang ini dan menitipkan sedikit sebanyak rangkuman 2016 dalam blog entri edisi khas ini.

2016 menyajikan pelbagai kisah dan cerita. Baik dari segi global mahupun kehidupan personal PR. Memandangkan blog padinrose.com merupakan blog genre personal, maka PR tidak berhasrat merangkumkan cerita global di luar sana. Kelihatan seperti syok sendiri, tetapi apa boleh buat, ini yang PR tulis selama ini. Hahahh


Penjenamaan padinrose.com
Rindu juga dengan domain padinno.com, tetapi beberapa restriction menyebabkan PR menggunapakai domain baru pada Februari. Mungkin tak lama lagi akan beralih ke hosting berbayar, bersama dengan sedikit perancangan pembaharuan.

Agak lama juga untuk terindeks di enjin carian google. Menuju ke penghujung 2016, padinrose.com berada di kedudukan 1,800,357 Alexa Traffic Rank (global) dan 21,870 (MY). Kata kunci masih belum signifikan tapi berdasarkan analisa Nov - Dec, Alexa Traffic Rank (global) menampakkan peningkatan sebanyak 44.1%.

Ilmu Perniagaan Internet
PR telah mengikuti 3 bengkel Ilmu Perniagaan Internet, 1. Roket Emel - Najib Asaddok; 2. FB Ads Kick Start - Mohd Shahaeil Nordin; dan Bengkel Bisnes Bersistem - Mohd Faizal Latip. Ilmu yang dipelajari adalah bagi membantu menyusun dan merancang perniagaan Ciktom Global Resources. Jika anda terbaca perenggan ini, doakan perniagaan Ciktom Global berkembang dan semakin maju.


Tamat Zaman Bujang
Alhamdulillah, PR menamatkan zaman bujang pada September 2016 dan pasangan PR adalah merupakan seorang blogger juga. Setakat ini, isteri PR menjadikan platfrom blog sebagai kerjaya utama.


Tambah Koleksi Honda
Rezeki kahwin barangkali, PR menambah koleksi Honda selepas Honda EX5(2008) dan Honda Civic EG9 (2011). Honda Odyssey Absolute RB1 menjadi milik PR Julai 2016, sesuai untuk kegunaan balik kampung (Johor - Perak atau Johor - Terengganu).


Tahun Baru 2017
2016 tampak kelihatan sempurna. Namun 365 hari itu bukan bilangan yang sedikit. Pasti ada juga calar di sana sini. Bagi 2017, PR berazam penuh untuk menurunkan berat badan. Sejak menyertai Cabaran Kurus 30 hari dan sehingga ke hari ini, berat PR adalah purata 82.5 kg. Obesiti melampau!

Tambahan pula, PR berhasrat untuk mewakili pasukan IKMJB FC dalam Sukan IKM KKTM Se-Malaysia ke-9 lebih - lebih lagi IKM JB sebagai tuan rumah bagi temasya sukan dwi-tahunan itu. Pasukan bola sepak IKMJB berpeluang mencipta rekod menang emas kali ketiga berturut - turut dan lebih manis menang di tempat sendiri. Pasti lebih seronok kalau PR masih berada dalam skuad emas tersebut.

Selain sukan, PR juga telah menyediakan sedikit perancangan perihal blog dan sekarang dalam usaha untuk mewujudkan web niaga. Harap - harap ia berjaya terlaksana sedikit masa lagi.

Akhir kalam, PR ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca padinrose.com. Moga anda juga lebih sukses dan mencapai apa yang diharapkan.

Menang Percutian Bulan Madu ke Bali

/ December 13, 2016 /
Isteri menyediakan kuih keria sebagai sajian minum petang hari ini. Cukup rasa. Sambil menghirup air nescafe panas, tiba - tiba isteri bertanya:

Isteri : Abang, takde plan nak travel luar negara ke? Masa bujang lincah je ke sana sini.
Suami : Travel... nak ke mana?


Isteri : Emmm.. kalau tengok senarai ni, destinasi mana yang paling Abang nak pergi?

10 destinasi percutian menarik


Suami : Kalau ikutkan, semua tempat tu nak pergi... Tapi kalau dalam mood bulan madu, Abang pilih Bali. Baca review orang yang dah ke sana kata pantainya cantik

Bali Terkenal dengan Keindahan Alam
Bali yang terletak di sebelah timur Pulau Jawa memang terkenal dengan keindahan alam terutama pantai. Mari Abang ceritakan 6 pantai yang mesti dikunjungi di Bali [1].

matahari terbenam pantai kuta bali

1. Pantai Kuta
Pantai Kuta merupakan ikon pelancongan Bali. Lokasi yang tidak jauh dari airport mempunyai garis pantai yang panjang dan melengkung, boleh berjalan di pesisir sepuasnya. Pemandangan matahari terbenam yang mengasyikkan selain menawarkan pengalaman bermain luncur air walaupun beginner! Terdapat juga deretan kedai makan, kedai cenderamata serta hotel di kawasan berhampiran.

2. Pantai Padang Padang
Pantai Padang Padang merupakan pantai yang indah, namun tidak terlalu terkenal kerana lokasinya agak tersembunyi disebalik tebing di kawasan Pecatu, tidak jauh dari Uluwatu. Walau tidak sebesar dan sepanjang Pulau Kuta, Pantai Padang Padang menawarkan pantai yang unik dan bersih.

lumba lumba pantai lovina

3. Pantai Lovina
Lebih kurang sama Pantai Padang Padang, Pantai Lovina tidak terlalu terkenal bagi warga Indonesia, tapi pantai yang berada di Bali Utara ini menawarkan pengalaman berbeza iaitu pantai berpasir hitam dan ikan lumba - lumba. Patung gergasi lumba - lumba merupakan ikon Pantai Lovina.

Kalau nak tengok lumba - lumba bermain dan meloncat, kena datang pagi. Seawal pagi sebaiknya sebelum matahari terbit. Kalau ada rezeki besar peluang untuk melihat ikan lumba - lumba kerana pada waktu siang lumba - lumba akan berenang jauh dari pantai. Bukan seekor dua, tapi mungkin puluhan dan  boleh jadi ratusan ekor. 

Pantai jimbaran bali

4. Pantai Jimbaran
Pantai Jimbaran tidak seramai Pantai Kuta pada waktu siang, tetapi berbeza di waktu malam. Pengunjung akan memenuhi Pantai Jimbaran pada waktu malam kerana pantai ini menawarkan sajian kulinari yang enak di pinggir pantai. Menu utama pastinya makanan laut yang bahannya segar dari hasil nelayan di sekitar pantai.

Bukan saja boleh makan di restoran, tapi boleh juga makan di atas pasir pantai yang lembut kerana telah tersedia deretan meja dan kerusi di sepanjang pantai. Ada juga beberapa restoran yang menawarkan live music untuk menghidupkan lagi suasana malam. Mesti seronok ni!

5. Pantai Dreamland
Pantai Dreamland terletak di Bali Selatan, daerah Pecatu. Pantai ini dikelilingi deretan tebing tinggi dan berjarak 30 minit perjalanan dari Pantai Kuta. Suasana dan keadaan Pantai Dreamland seakan sama dengan Pantai Kuta, tapi jumlah pengunjung lebih sedikit dan elok sangat kalau mood bulan madu, perlukan ketenangan dan sedikit privasi.

6. Pantai Sanur
Pantai Kuta disebut sebagai "pantai matahari terbenam", manakala Pantai Sanur adalah merujuk kepada "pantai matahari terbit". Pantai yang berlokasi di sebelah timur kota Denpasar ini mempunyai ciri ombak yang tenang yang membuatkan ia sesuai untuk aktiviti snorkeling dan penyelam. Sambil melihat matahari terbit, boleh berenang dan bersantai di laut yang tenang.

[1] Sumber

Isteri : Wah! Bestnya. Gaya Abang bercerita tu Sayang dah boleh bayangkan macamana kita nak habiskan waktu di Bali nanti. Apa lagi yang menarik di Bali selain pantai?
Suami : Oh, selain keindahan alam Bali juga terkenal dengan kesenian dan budayanya yang unik

Daya Tarikan Ubud
1. Monkey Forest
Merupakan salah satu kawasan pelancongan yang wajib dikunjungi. Daya tarik monkey forest Ubud sebagai tempat bercuti, terletak di hutan simpan yang masih asli dan terdapat banyak kera. Namun kebanyakan kera yang menghuni monkey forest telah jinak. Bagi tujuan keselamatan pengunjung, banyak petugas telah disediakan bagi mengawal kera di situ.

tari kecak bali

2. Pementasan Tari Kecak
Salah satu aktiviti menarik pelancong ke Ubud adalah menonton pertunjukan pementasan tarian Bali. Tarian yang menjadi favourite adalah tarian kecak. Jika di Pura Uluwatu pementasan tari kecak di satu tempat sahaja, tetapi berbeza di Ubud, tempat pementasan ini berada di banyak lokasi yang berbeza. Elok dapatkan jadual lebih awal untuk mengelakkan membuang masa.

ubud destinasi wajib kunjung di bali

3. Sawah Terasering Tegalalang
Di kawasan teres sawah Tegalalang, pelancong akan dapat melihat bentangan teres sawah padi yang luas dengan cerun curam. Terdapat banyak kafe di tepi jalan di pinggir sawah padi dengan pemandangan saujana terus ke teres sawah Tegalalang. Jika pelancong memang sukakan keindahan alam, maka tempat ini memang sesuai.


Isteri : Emm.. sesuai sangatlah.. Abang tu memang suka kan tempat - tempat macam ni. Tenang. Boleh tengok keindahan alam. Tengok budaya orang. Apa lagi yang menarik?
Suami : Kalau nak tahu lanjut, jom la kita pergi sana...

Suami : Eh, dari tadi lagi sibuk bertanya. Ada apa - apa ke ni?
Isteri : Oh, ya! Sayang ada terbaca Traveloka buat contest "You Need a Holiday lah". Tengok ni.

contest traveloka you need a holiday lah

Isteri : Syarat penyertaan pun mudah sangat ni. Hadiah lumayan tu... Mana tahu ada rezeki kita menang, bolehlah capai impian Abang tu.. Percutian Bulan Madu ke Bali!

Suami : Lerr.. kenapa tak bagitau awal - awal tadi? Bila tarikh tutup pertandingan tu?

Isteri : Setiap minggu, ada 10 pemenang mingguan bermula 7 Disember berakhir 28 Disember, selama 4 minggu dan kesemua 40 pemenang ni layak untuk menang Grand Prize : Bernilai RM6000*!! Boleh tengok infografik ni.

pemenang mingguan contest you need a holiday lah

grand prize contest you need a holiday lah


Suami : Eh, apa tunggu lagi... Jom submit penyertaan #MyTravelokaEscapade !!!

Honda Odyssey RB1 Skala 1/24 Model Kit

/ December 11, 2016 /
Selain dari mengumpul model kereta diecast, PR juga suka meluangkan masa memasang model kit plastik. Tahun 2013, PR membeli dan membina 2 buah kereta mokit, Mitsubishi Evo X dan Toyota AE86 Initial D. Kedua - dua kit tersebut merupakan produk keluaran Aoshima.

model kit aoshima odyssey


Honda Odyssey D.A.D RB1 Model Kit
Projek Disember 2016, PR membeli Aoshima #37 Honda Odyssey D.A.D RB1 VIP plastic model kit skala 1/24 berharga RM125.00 bersama set tayar/rim Advan Racing GT 19" berharga RM45.00. Bayaran pos yang dikenakan bagi kedua - dua item ini RM10.00.

kotak bungkusan odyssey RB1 D.A.D aoshima

manual pepasangan odyssey model kit

Ciri Asas Model Kit:
  • Memerlukan pepasangan sendiri -- komponen telah tersedia bersama sprue tree
  • Gam, cat dan peralatan tidak disertakan
  • Arahan pepasangan dalam bahasa Jepun / Inggeris beserta ilustrasi
Keperluan Pepasangan (Beginner)
Sungguh pun ini kali ke-3 PR terlibat dalam pepasangan model kit plastik, tetapi PR masih belum mahir sepenuhnya tambah pula ingin melakukan sedikit modifikasi pada model yang dibeli. Dalam kepala, PR nak ubah jadi Odyssey Absolute (2006), warna body pearl white.

Bahan dan peralatan yang PR sediakan untuk pepasangan adalah seperti berikut:

Nama itemHarga
Spray Samurai (Putih dan Clear)RM7.90/unit
Cutting Map (A3)RM19.50
Paint Marker (Merah dan Silver)RM8.90/unit
Gam UHURM2.30
Kertas pasir grid 400 dan 1000RM1.00/unit
Permanent Marker (Hitam)RM4.24
Cutter, Ketip KukuSedia ada

Pepasangan Chasis, Suspensi, Disc Brake, Rim dan Tayar
Pepasangan ini menjadi mudah dengan rujukan bergambar. Setiap gambar disertakan dengan nombor sepertimana yang telah disedia-cetak di sprue tree (rangka asal?). Oleh sebab yang asal semua berwarna hitam maka PR tambah sedikit merah di brake caliper dan spring shock absorber.

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey


Model ini dilengkapkan dengan pilihan seperti wide-angle, lowered dan normal height. PR pilih lowered height.

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey


PR tidak menggunakan set wheel sedia ada sebaliknya menggunakan rim Advan Racing GT 19",cun!

model kit aoshima odyssey


Interior dan Exterior
Bahagian dalaman model ini, PR ikut sahaja seperti yang tersedia di manual. Oleh sebab ia berada di sebelah dalam, jadi kemasan ala kadar sahaja asalkan tidak tertanggal dari kedudukan.

model kit aoshima odyssey

Bahagian exterior, seperti PR nyatakan di atas, PR ambil keputusan mengubah warna body kepada pearl white. Proses ini agak lama untuk disiapkan seperti proses menggosok body dengan kertas pasir dan mengecat. PR belum mahir mengecat dengan sempurna tambahan pula 'malas' menunggu lama.

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey

Pepasangan Chasis dan Body Odyssey Absolute
Bahagian ini disempurnakan setelah semua body telah dipasang sepenuhnya. PR gunakan permanent marker (hitam) untuk mewarnakan window border. Tak berapa menjadi juga bila dakwat marker bertemu plastik. Tapi proses berulang kali menampakkan sedikit hasil.

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey

Akhirnya, setelah 4 hari, chasis dan body selamat disatukan. Wallaaahhh!! Tengok dari jauh memang ada rupa Odyssey Absolute, tengok dari dekat macam kereta baru lepas masuk parit pon ada, hahah!

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey

model kit aoshima odyssey

Pengajaran Berguna Pepasangan Model Kit
1. Seeloknya study dulu step - step yang diperlukan bagi pepasangan model kit plastik. Kadang - kadang tersilap langkah boleh juga menjadikan hasil akhir kurang memuaskan.

2. Jangan gelojoh. Seharusnya proses menggosok dengan kertas pasir perlu mengambil masa, diulang proses cat - gosok - cat - gosok untuk mendapatkah hasil yang lebih halus dan kemas.

3. Gunakan bahan yang sesuai untuk melekatkan komponen bodykit. Kalau ada bahan khas, jangan ragu - ragu untuk dapatkannya. Pasang, siapa pon boleh pasang tapi ketelitian dan kekemasan menjadi faktor terakhir dalam arena modeler plastik kit ni, cewah!

4. Perlu tahap kesabaran tinggi, terutama memasang komponen halus seperti tombol gear, lampu, viper dan decal (pilihan). Dalam banyak - banyak part, ada satu yang PR tak pasang -- cermin pandang belakang. Kecik dan rumit huhuhh

model kit aoshima odyssey

Akina Hobby Shop 1/24
Sebagai penutup, jika anda juga ingin mendapatkan koleksi model kit plastik bolehlah melayari pages fb Akina Hobby Shop 1/24. Banyak model kereta cun - cun. Urusan pantas dan khidmat aftersales pon terbaik. Sekian.

Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga

/ December 6, 2016 /
Masyarakat Melayu memang kaya dengan peribahasa. Ia diungkap sebagai satu alternatif kiasan bagi menyampaikan sesuatu maksud. Peribahasa yang PR ingin ketengahkan pada blog entri kali ini adalah "Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga".

Oleh sebab yang sedikit, rosak yang banyak. Oleh sebab kejahatan salah seorang anggota kumpulan atau masyarakat, maka orang lain juga mendapat nama yang buruk.

Kisah Guru dan Murid
Seorang guru menulis di papan hitam sifir 9. Guru fokus menulis sifir tersebut satu persatu:

1 x 9 =   9
2 x 9 = 18
3 x 9 = 27
4 x 9 = 36
5 x 9 = 45
6 x 9 = 54
7 x 9 = 63
8 x 9 = 70

Bingkas pelajar berteriak dan mentertawakan guru tersebut kerana menyedari kesilapan. Namun guru tenang dan secara bersahaja,

"Saya sengaja menulis begini dengan tujuan. Saya mahu kamu semua tahu inilah yang berlaku pada kamu di dunia luar sana."

Sambung guru lagi, "Kamu lihat saya telah menulis sifir yang betul 7 kali,  tetapi tiada seorang dari kamu yang bersuara sebaliknya kamu menghukum dengan satu kesalahan yang saya lakukan. Dunia luar tidak akan pernah menghargai kamu walau kamu berbuat kebaikan sejuta kali malangnya akan mengkritik bila kamu membuat satu kesalahan"

nila setitik rosak susu sebelanga

Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga
Jelas, melalui kisah di atas oleh sebab kesilapan yang sedikit rosak perkara betul yang lebih banyak. PR tegaskan, ini bukan cerita pasal tidak boleh dikritik tetapi lebih kepada isu kewajaran dalam mengkiritik kesalahan minor apatah lagi ia adalah kali pertama.

1. Mendidik anak melalui teladan
Psikologi mendidik anak adalah sangat kritikal lebih lagi dalam usia peralihan. Peningkatan minat, pemikiran dan tindakan menjadikan mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Boleh jadi semasa proses tersebut, anak - anak tersilap langkah dan sebagai ibubapa haruslah menangani situasi dengan bijak. 

Ibubapa harus mengelak untuk terus menghukum sebaliknya mendidik melalui teladan. Jangan lupa perkara baik yang pernah dilakukan. Jangan lupa kelebihan dan kekurangan anak - anak itu. Hukuman keras sebenarnya hanya menjadikan keadaan lebih buruk.

2. Menggalak pelajar berfikir luar kotak
Dalam proses menimba ilmu, tidak dapat tidak pasti akan berlaku kesilapan. Pengajar yang berdedikasi akan sentiasa cuba membantu dan mendidik pelajar yang bermasalah baik dari segi akademik mahupun disiplin. Berikan pelajar tersebut ruang untuk menyedari dan memperbetulkan kesalahan.

Menghukum pelajar bukan jalan penyelesaian masalah. Sebaliknya, pengajar perlu menerang serta menggalakkan pelajar berdikari dan berfikir di luar kotak! Masa depan mereka masih panjang.

3. Pekerja lelah, organisasi rebah
Organisasi itu dibina berdasarkan sekumpulan manusia yang bekerja bersama bagi mencapai matlamat yang sama. Pengurusan atasan dan pekerja perlu menjalin kerjasama baik bagi mengelakkan konflik.

Pekerja profesional itu pun manusia. Maka manusia mempunyai emosi. Keadaan mungkin boleh berubah akibat emosi. Janganlah sekali pekerja anda membuat kesilapan, anda lupa 10 kebaikan yang pekerja anda telah lakukan untuk organisasi anda!

Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu...-Al-Imran, 103

Nota Kaki
Janganlah kerana kuasa dan kedudukan, kita cepat menghukum dek kerana kesilapan yang minor. Bawak - bawaklah berbincang mungkin ada jalan penyelesaian yang lebih baik. 

Facebook Pages

 
Lifestyle BlogsReal Time Web Analytics
Copyright © 2009-2017 padinrose - Tips, Hobi dan Motivasi, All rights reserved | Disclaimer | Sitemap