Mengupas persoalan rezeki, sebagai hamba yang beriman kepadaNya yakinlah rezeki Allah itu luas. Setiap dari kita mempunyai rezeki masing - masing yang telah ditetapkan. Kita haruslah bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu - Surah Ibrahim : 7
Diberikan kesihatan yang berpanjangan itu rezeki. Dikurniakan sesuatu kemahiran itu juga rezeki. Pendek kata di sekeliling kita merupakan rezeki yang kadangkala kita tidak sedar dan tidak menikmatinya.
Jenis - Jenis Rezeki
1. Rezeki yang telah dijamin
Jika anda merasakan anda sering dihimpit pelbagai dugaan dan melihat rezeki anda sempit, sebenarnya Allah telah menjamin dan mengurnia rezeki sejak anda di dalam kandungan. Cuma, bila dan bagaimana rezeki itu datang, yakinlah dengan Yang Maha Kuasa
2. Rezeki dari Usaha
Sungguhpun rezeki telah dijamin (1), bukanlah tiket anda bergoyang kaki seolah menunggu bulan jatuh ke riba! Anda perlu berusaha dan berikhtiar menjemput rezeki. Setelah berusaha sebaiknya, anda berdoa dan berserahlah pada Yang Maha Mengetahui
3. Rezeki yang Tidak Terduga
Adakala rezeki itu datang tidak terduga. Inilah rahsia Allah. Ini bukan kerja kita. Tatkala kita berhadapan situasi sukar, pasti ada jalan keluar cuma samada ia datang dengan cara mudah dan cepat atau sebaliknya.
4. Rezeki kerana Sedekah
Sejak di bangku sekolah lagi, PR dididik supaya jangan takut bersedekah. Hulurkan sedekah mengikut kemampuan seikhlas hati. Sekurang - kurangnya setiap kali Solat Jumaat, bersedekahlah. Sedekah merupakan penawar kemiskinan. Mudah - mudahan Allah melipat-ganda dan memperluas rezeki anda
5. Rezeki kerana Istighfar
Kita sebagai manusia sering lalai dan leka. Perbanyakkan istihgfar dan mengingati Allah, nescaya Dia akan membuka pintu rezeki seluas - luasnya.
Sisipan
Sebagai pesanan untuk diri PR dan anda, janganlah menolak bila ada individu yang memerlukan bantuan anda. Sekalipun anda rasa waktu tidak sesuai, tetapi cuba fikirkan mereka tidak akan meminta bantuan jika mereka tidak memerlukan. Bantulah walau sekelumit.
Rezeki itu rahsia Allah. Anda tidak akan tahu apa rezeki yang bakal mendatang walaupun dengan pertolongan sekelumit tersebut. Apa kata anda?
0 comments