Artikel hujung tahun ni, saya cuba tulis dalam bentuk humor. Taktahu lah menjadi atau tidak. Kalau pembaca rasa macam tak kena, tahun depan saya tulis seperti gaya bahasa biasa.
Analogi Tambah Isteri
Heboh juga di media sosial bila bercerita pasal lelaki tambah isteri. Saya sekadar baca tajuk. Malas pula nak baca details. Banyak lagi artikel dan kisah lain yang perlu saya baca. Kadang - kadang bukan apa, tuan punya badan rileks je tapi yang buat ulasan tu pulak yang melebih - lebih.
Tiga Kereta Tiga "Isteri"
Saya suka untuk alih topik ini kepada tiga kereta ibarat tiga isteri. Cuma minta pembaca jangan masukkan elemen "emosi" pada kereta ya. Pada pembaca baharu blog ini, kereta pertama saya adalah Honda Civic EG9 (beli 2011) manakala kereta kedua adalah Honda Odyssey RB1 (beli 2016). Kedua - dua kereta ini adalah kenderaan terpakai. Kereta ketiga merupakan kereta Ciktom, tapi saya ambil kira saya lah juga yang menjaganya.
Saya analogikan kereta pertama adalah "isteri pertama", kereta kedua adalah "isteri kedua" dan kereta Ciktom adalah "isteri ketiga". Yang paling saya sayang mestilah "isteri pertama". Banyak kenangan yang tersimpan bersama kereta pertama. Pengalaman memandu kali pertama balik kampung di Perak adalah yang paling teristimewa. Mana taknya, 25 tahun tak pernah bawa kereta tup tup bawak balik ke depan halaman rumah. Terkejut sungguh reaksi Mak dan arwah Abah masa tu.
"Isteri Pertama Yang Teristimewa"
Nostalgia sebagai "isteri pertama" takkan terpadam walaupun nanti masa depan ada rezeki untuk upgrade kenderaan lain. Kereta lama, kini menjangkau usia 31 tahun pasti banyak bahagian yang perlu ditukar samada baharu atau halfcut. In fact, pernah tersadai dari 2019 apabila ada "isteri kedua" sebagai backup.
April 2023, secara rasmi "isteri pertama" ini kembali di atas jalanraya. Saya akui, memang kasar juga modal untuk dapatkan semula keselesaan dan keselamatan pemanduan ulang - alik ke tempat kerja. Penyelenggaraan boleh kata besar - besaran juga termasuk sistem suspensi, ekzos, pendawaian dan kemaskini engine bay. Selain itu, adalah sikit - sikit restorasi untuk interior. Target saya adalah dapatkan semula wajah 1992.
"Isteri Kedua Yang Berkuasa"
2016, rezeki mendirikan rumahtangga, saya dapatkan "isteri kedua" yang lebih berkuasa. Odyssey Absolute dengan enjin 2.4, MPV yang pada saya sangat elegan dengan konsep sedan panjang. Lazy eyes gelaran lampu hadapan sangat seksi. Saya fikirkan "isteri kedua" memberi sedikit keselesaan untuk perjalanan balik kampung yang panjang, Johor - Terengganu - Perak.
7 tahun di tangan, 2023 inilah "isteri kedua" seakan merajuk bila saya mula memberi perhatian lebih pada "isteri pertama" semula. Bermula dengan episod alternator kong sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Kemudian panel aircond juga kong sebaik Syawal ke 4 di Perak. Setiba di Johor, episod leaking bersiri pula. Belum pun reda, terdapat masalah air tiris melalui panel pintu bonet belakang menyebabkan air bertakung di ruang tayar simpanan dan kerusi menjadi karat dan rosak.
Tersadai Hari Raya Pertama, 23 April 2023
Alhamdulillah, ketika artikel ini ditulis, semua penyelenggaraan telah dibuat dan harap - harap tidak berlaku lagi masalah sama dalam tempoh 5 - 7 tahun lagi, InsyaAllah. Adira bukan main suka kereta putih ini, yelah ruang yang lebih besar dan semestinya paling laju antara ketiga - tiga yang ada.
"Isteri Ketiga Yang Segar"
"isteri ketiga" ini adalah kereta baharu, 1st hand. "isteri ketiga" sangat fresh dan menjangkau usia hampir 5 tahun juga. Baru - baru ini, saya baru sahaja selesaikan selenggaran rutin yang ke-9. Memang kereta inilah yang digunakan kerap dalam tempoh 2019 sehingga kini. Sewaktu PKP dan Adira masih belum 5 tahun, kereta inilah saya gunakan untuk berulang ke tempat kerja.
Tatkala "isteri pertama" dan "isteri kedua" melayan karenah part yang dimakan usia, "isteri ketiga" saya manjakan dengan aksesori untuk improve keselesaan dan handling. Untuk keselesaan saya balutkan kerusi dengan pvc leather GearUp dan penambahan vibratile untuk mengurangkan "ruang kosong" di panel keempat - empat pintu. Bagi cornering dan handling, saya tambahkan strut bar di bahagian depan dan anti roll bar di bahagian belakang.
Tepuk Dada Tanya Selera
Saya kongsikan pengalaman untuk meneliti dan menyelenggara tiga buah kereta. Ciktom bagi green light je kalau saya nak tambah isteri, tapi saya hanya jawab nak jaga "tiga isteri" ni pun dah tak sempat nak fikir benda lain.
Yang saya boleh bayangkan, kalau ada isteri kedua dan ada tiga biji kereta lagi, rasanya nak tulis artikel panjang berjela ni pun dah tak sempat. Hehe. Natijahnya, tepuk dada tengok kemampuan diri sendiri. Kalau mampu dari segi duit, tapi boleh ke untuk adil bagi keduanya? Saya nak jaga tiga kereta ni pun, memang dah nampak sangat tak adil penjagaannya. Jadi Ciktom bagi green light tu pun sebab dia dah fikir 100,000 kali agaknya.
Humor je. Jangan ambil serius.