Pengalaman Menginap di Hotel Klana Beach Resort | Pada 21 – 24 Oktober 2019, PR menghadiri bengkel Penggubalan Soalan dan Jawapan Orang Kompeten Gas – Suruhanjaya Tenaga di hotel Klana Beach Resort, Port Dickson. Kali ini, PR bawa bersama Adira dan Ciktom. Sambil bekerja, sambil bercuti kaedahnya.
Hotel Klana Beach Resort, Port Dickson
Hotel ini terletak tidak jauh daripada pantai awam Telok Kemang. Dari segi persekitaran, hotel ini menjanjikan pemandangan yang menarik kerana lokasi hotel ini terletak di atas bukit dan pengunjung boleh akses laluan rekreasi dari kawasan hotel untuk turun ke pantai.
Selain laluan rekreasi ke pantai, pihak hotel juga menyediakan kolam renang patuh syariah (pengasingan kolam lelaki dan wanita). Kolam ini boleh diakses bermula jam 8 pagi sehingga 7.30 malam (bergantung waktu Maghrib).
Sumber : Klana Beach Resort
Secara amnya, hotel ini mempunyai 84-unit bilik penginapan, 3-unit apartment, ruang pejabat operasi, kafe yang selesa (ruang makan berhawa dingin dan terbuka), dewan serbaguna yang boleh memuatkan 200 orang, bilik mesyuarat dan galeri / kawasan pameran. Kalau anda membuat tempahan bilik, jangan lupa untuk pilih bilik yang menghadap laut. Asyikkk.
Kompleks Balai Cerap
Tarikan utama hotel ini semestinya Kompleks Balai Cerap. Kompleks balai cerap dan sabit balai cerap anjung digunakan sebagai pusat rujukan dan penyelidikan seperti pemerhatian bulan baru dan kajian astronomi. Senang cerita, tempat popular untuk mencerap anak bulan nak – nak semasa bulan puasa atau raya.
Perhiasan di hotel, lobi hotel bahkan di dalam bilik mesyuarat dipenuhi dengan unsur – unsur astronomi. Unik. Lampu berbentuk bulan sabit, gerhana separuh dan banyak lagi. Dinding di dalam bilik dan lorong bilik juga dihiasi dengan gambar – gambar angkasa, planet dan bintang yang bergemerlapan.
Waktu untuk mencerap matahari adalah jam 3 – 5 petang manakala waktu untuk mencerap bintang / bulan / planet adalah pada 10 – 12 tengah malam (bergantung kepada keadaan cuaca). Bayaran RM10 dikenakan kepada pengunjung luar, manakala tiada bayaran dikenakan kepada tetamu hotel.
PR tak sempat tengok pon, Ciktom sempat tengok tapi tengok matahari. Oren sahaja katanya di teleskop. hihi..Jika anda berniat untuk mencerap, anda perlu tahu anda perlu memanjat tangga sampai tingkat – 6. Lif tidak disediakan.
Kemudahan Bilik Penginapan
PR menginap di bilik Deluxe Non-Facing. Tak dapat layan sea view. Kemudahan bilik penginapan ini sama sahaja rasanya seperti hotel lain, dengan tambahan WiFi super laju serta disediakan bersama sejadah, kain pelikat, telekung wanita dan tafsir Al-Quran. Oh ya, satu lagi ruang parkir kenderaan yang luas dan banyak disediakan. Ini juga masuk list kan kriteria ketika memilih tempat penginapan?
Makanan Selera Kita
Sepanjang berbengkel, PR rasa makanan yang disajikan kepada tetamu hotel adalah bersesuaian dan kena dengan selera PR. Boleh kata 4 hari PR berbengkel, 4 hari jugalah disediakan hidangan kambing. Tapi PR bukan penggemar kambing. Ada lagi menu yang betul – betul membakar selera. Hidangan tumis ikan bilis petai. Hotel? Ikan bilis petai?
Sarapan pagi juga agak berbeza dengan hotel lain yang pernah PR kunjungi. Ada nasi kerabu, dan ada juga nasi dagang selain menu biasa seperti nasi goreng dan nasi lemak. Pencuci mulut, PR rasa bersesuaian sahaja dengan hidangan yang sederhana dan terhad.
Penutup
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hotel Klana Beach Resort Port Dickson, anda boleh layari web rasmi hotel. Bagi PR, jika anda bercadang untuk bercuti di Port Dickson, boleh juga masukkan Hotel Klana Beach Resort dalam consideration anda.
Kalau rajin, PR akan kongsi pula aktiviti serta tempat – tempat menarik di sekitar hotel untuk panduan anda. Terima kasih membaca.