Sudah lama juga rasanya saya tidak menyiarkan artikel berkaitan kerjaya saya. Alhamdulillah saya masih berkhidmat dengan Majlis Amanah Rakyat, sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Institut Kemahiran MARA Johor Bahru.
Artikel ini khas saya garapkan sebagai mengenang penglibatan saya dalam Jawatankuasa Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001) IKMJB. Setelah 10 tahun bermula dengan lantikan setiausaha kerja pada 2012, Penyelaras (2013 - 2019) dan AJK Tindakan Penambahbaikan (2020 - 2022), buat pertama kali nama saya tiada dalam perancangan Jawatankuasa SPK bagi tahun 2022 - 2024.
Walaupun banyak juga penglibatan saya dalam jawatankuasa lain, tapi bagi saya portfolio ini sangat memberi kesan terhadap diri sendiri terutama melihat aspek kualiti bekerja dalam organisasi yang besar seperti IKMJB. Tidak keterlaluan juga saya declare karakter kerja saya hari ini banyak dipengaruhi dengan keperluan kualiti dalam ISO 9001.
Pencapaian Umum
Secara umum, saya terlibat secara langsung dengan 3 kali audit pensijilan semula (2012, 2014, 2017) di mana IKMJB sebagai pusat induk bagi pensijilan kelompok (multiple site). Pensijilan 2009 - 2014 melibatkan 3 pusat iaitu IKMJB, IKM Lumut dan IKM TSYA ("dipanggil JLT") dan pada audit 2014, penambahan satu site iaitu IKM Kota Kinabalu.
Bermula 2019, melalui dapatan Kajian Semula Pengurusan, Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) menjadi pusat induk bagi pensijilan ISO 9001:2015 bagi semua pusat KKTM, MJII dan IKM. Pada 2021, pusat IKMJB antara pusat terpilih untuk audit pensijilan semula. Walaupun masa itu saya bukan lagi penyelaras, tetapi tetap diberi kepercayaan sebagai penyelaras interim berikutan penyelaras sebenar cuti bersalin pada tarikh audit.
Alhamdulillah, semua proses audit lancar dan dapatan audit juga merekodkan tiada ketakakuran major yang boleh menyebabkan penggantungan sijil atau termination. Kalau rekod ketakakuran minor, boleh kata setiap audit pasti ada cuma itu sebagai satu langkah penambahbaikan. Sepanjang audit juga saya berasa senang dengan auditor yang dipertanggungjawab. Auditor yang friendly dan banyak membantu.
Pencapaian Peribadi
Walaupun saya tulis "peribadi", ini tidak bermakna saya lupakan pasukan saya. Pasukan gerakerja dan pasukan auditor dalaman. Mereka adalah tulang belakang untuk saya terus berdiri dan bergerak ke hadapan.
Appreciation Post, 10 Dec 2019
Pengalaman paling manis sepanjang mengemudi jawatankuasa ini semasa dilantik oleh BKT sebagai penyelaras SPK IKM Se-Malaysia pada 2015. Pada tahun itu juga, BKT menyediakan KPI kepada semua pusat KKTM,MJII dan IKM bagi mendapatkan pensijilan ISO 9001. Saya dijemput dan dilantik sebagai penceramah untuk beberapa pusat IKM lain bagi berkongsi idea dan pengalaman berkaitan pelaksanaan ISO 9001 di IKMJB.
IKM yang paling awal menjemput saya adalah IKM Beseri (kenangan 2 kali kena saman plat kereta fancy) di ikuti IKM Jasin, IKM Kuching dan IKM Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, seluruh wakil dari semua pusat IKM bertandang ke IKMJB untuk sesi bengkel resolusi selama 2 hari.
Kualiti TVET MARA
Semasa artikel ini ditulis, semua pusat TVET MARA di bawah naungan BKT ditauliahkan Persijilan ISO 9001:2015 oleh SIRIM. TVET MARA komited memberikan kualiti pendidikan yang terbaik dan diperakui piawaian antarabangsa. Selain delivery semasa proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan juga fokus kepada sistem pengurusan kualiti yang terbaik.
Baca juga >> Lepas SPM Nak Belajar Apa? <<
Penutup
Apa pun, pengalaman dan pengetahuan yang saya raih selama 10 tahun ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Saya pasti ia boleh jadi sangat berguna walaupun tanpa ada tanggungjawab memegang jawatan dalam jawatankuasa lagi.