Blog entri penutup Mei 2016, PR kongsikan kisah motivasi Jangan Helang Menjadi Ayam. Semoga intipati kisah ini dapat dijadikan pedoman dan bermanfaat untuk anda. Selamat membaca.
Gambar Hiasan
Adapun dikisahkan, di sebuah lereng gunung yang curam, terdapat sebuah sarang helang berisikan telur hanya menanti masa untuk menetas. Malang tidak berbau, gempa bumi menggoncang gunung dan salah satu dari telur jatuh ke kandang ayam yang berada di lembah lereng.
Mujur telur itu selamat dan menetaskan seekor anak helang yang cantik dan kacak! Ayam yang berada di sekelilingnya suka dan teruja, lalu menjaga dan membesarkan anak helang itu seperti seekor ayam.
Anak helang juga suka dengan keadaan sekelilingnya, namum jiwa sang helang tetap menjalar dalam darahnya. Sang helang mendongak ke langit dan menatap sekumpulan helang hebat terbang tinggi mengepak sayap di ruang udara. Dari situ, si helang berkeinginan untuk terbang tinggi seperti helang yang lain.
Alangkah bagus kiranya aku juga boleh terbang tinggi di udara
Teriak sang helang kecil. Namun, ayam - ayam yang menjaganya segera mematikan angan - angan itu dengan menyatakan "Kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga! Kamu hanya seekor ayam"
Setiap kali si helang menyuarakan hasratnya, ia akan segera dipatahkan dengan sindirian sinis ayam - ayam sekeliling. Sehingga beberapa waktu dan ketika, si helang pasrah dan meyakini dia tidak boleh terbang dan melupakan sahaja angan - angannya. Akhirnya, si helang terus menjadi ayam sehingga hujung nyawa.
Percaya Diri, Turut Kata Hati
Apa yang boleh dipelajari daripada kisah di atas adalah harus percaya kepada diri, turut kata hati, kenali potensi diri dan cuba untuk menggapai apa yang diingini. Anda harus percaya potensi diri sendiri dan elakkan mendengar kata negatif bagi menyekat kejayaan anda.
Lakukan sesuatu dengan menurut kata hati, jika diakhirnya gagal ia bukanlah penghujung. Terimalah dengan berlapang dada dengan menganggapkan sebagai pedoman dan teladan. Dan yang paling penting, jangan pernah putus asa sehinggalah menemukan kaedah yang betul dan membawa kejayaan.
PR menyifatkan, kadangkala sikap "tuli" pada komen negatif dan sindiran sinis adalah perlu untuk kita bergerak ke hadapan. Sekurang - kurangnya kita mencuba, dan walaupun mungkin terpaksa mengambil masa yang panjang dan berliku, pasti ada kemanisan di penghujungnya. Sekian.