PR sendiri pun dah tak tahu apa konsep dan tema dekorasi rumah PR ni. Awal - awal masuk rumah baru semangat berkobar nak deko tapi dah masuk tahun ke empat baru berpeluang untuk fikirkan dengan lebih baik. Sekarang ni lebih kepada konsep celup sana - sini ikut suka hati. Apa pun masih lagi dalam sempadan dekorasi bajet.
DIY Pasang Wainscoting Dinding Ruang Tamu Sederhana
Entah nak kata ruang tamu ni sederhana atau kecil tapi PR ambil langkah untuk declare sederhana lah dengan dimensi 18 kaki panjang dan 14 kaki lebar. Ruang tamu ni bersekali dengan ruang makan. Tengah semangat ikut trend semasa, PR memilih dinding - L untuk dihiasi dengan kemasan dinding wainscoting bahagian bawah sahaja.
Bagi dinding yang panjang 18 kaki, PR dah bahagikan awal - awal dengan kemasan cat 10 kaki untuk ruang tamu dan baki 8 kaki untuk ruang makan. Dinding dengan dimensi 10' x 10' dicat dengan kemasan Sparkling Gold Momento dari Nippon Paint. Selebihnya cat glossy dengan warna pastel.
Polystyrene Wainscoting Jadi Pilihan
Lama juga PR membidik sasaran dan pilihan akhir PR membeli high-density polystyrene wainscoting dengan harga RM13 sebatang (8 kaki panjang, lebar 22mm). Untuk kemasan chair rail, PR memilih variasi lebar wainscoting 40mm. PR tidak memesan untuk skirting sebab dah ada kemasan jubin untuk skirting.
Ukuran Tepat Elak Menangis Bucu Katil
Semestinya sebelum membuat pembelian, pastikan ukuran telah dibuat dengan sebaiknya. Ini mengelakkan material tak cukup kemudian hari. Kalau dekat dengan kedai, OK. PR memilih untuk belian atas talian. Jadi kena ukur dengan sebaiknya bagi mengelakkan menangis bucu katil kelak.
1 batang = 8 kaki @ 240 cm. Adalah lebih - lebih sikit bukan tepat 240 cm. Jadi untuk framing, biasanya tinggi ideal adalah 2 kaki atau lebih kurang 60 cm. Jadi, untuk framing 2' x 2' atau 60cm x 60cm, ngam - ngam sebatang. Elak ralat yang banyak semasa memotong.
Jarak ideal antara framing dengan chair rail adalah 10 - 20 cm, better ambil nilai 10cm. Begitu juga jarak antara framing juga konsisten 10 cm. Jadi taklah terlalu besar dan tidak jugak terlalu kecil untuk jurang diantara framing-framing atau framing-chair rail. PR dah terbuat jarak 20cm, memang nampak janggal sangat. huhuu. Jarak lantai ke chair rail lebih kurang 3 kaki atau 1 meter.
Bagi ruang 10'x10', PR gunakan 3 frame dengan setiap frame berdimensi 90cm lebar dan 60 cm tinggi (3' x 2'). Disebabkan tersilap pada awalnya, jarak antara chair rail dan frame adalah 20cm. Jarak antara frame adalah 9cm.
Bagi ruang 8'x10', PR gunakan 3 frame juga dengan setiap frame berdimensi 70cm x 60cm, jarak antara frame adalah 8 cm. Kalau tengok dari jauh, tak perasan pun beza jurang 1cm. Nak sedapkan hati. Dan ukuran itu diteruskan untuk dinding bahagian selebihnya.
Jumlah batang frame adalah 13 batang dan jumlah chair rail adalah 4 batang. Jumlah harga bagi kedua - dua jenis ini adalah RM269. Termasuk kos pos RM30 menjadikan jumlah besar RM299.
Pro Tips: Semasa mengukur untuk menentukan jumlah batang yang perlu dibeli, jangan campur jumlah panjang sekaligus dan bahagikan dengan 8 kaki. Sebaliknya ukur berapa set potongan yang boleh dibuat bagi 1 batang. Anda takkan sambung - sambung pada bahagian yang berbaki. Percayalah.
Peralatan dan Bahan Tambahan
Bagi peralatan yang perlu digunakan untuk DIY pasang wainscoting ini, anda perlukan pemotong, gergaji besi sudah memadai. Tapi kalau rasa tangan tu tak lurus beli sahaja miter box (khas untuk pemotongan serong terutama 45 darjah). Selain itu anda perlukan sesiku-L, penimbang air atau laser untuk keseimbangan atau garis lurus.
Bahan guna habis adalah gam kayu. Jika perlu, anda juga boleh sediakan masking tape untuk menyokong wainscoting yang telah digam. Filler juga boleh disediakan andai kata potongan 45 darjah anda tidak tepat.
DIY Dekorasi Bajet
Shiplap sudah, wallpaper juga sudah. Kini giliran wainscoting pula. Entah nak kata Inggeris moden macam ya macam bukan. Yang penting bila nak bergambar, background ada class gitu. PR memilih untuk dekorasi secara DIY bukan kerana kedekut tetapi lebih kepada penjimatan. Baca Jimat dan Labur dalam Dekorasi. Senget sikit - sikit tu pejam mata jelah.
0 comments