Alhamdulillah, bertemu ruang masa untuk mengemaskini coretan di sini. Blog entri pertama Julai ini, PR titipkan sedikit sebanyak Memori Sambutan Aidilfitri 2016 buat anda; pembaca padinrose.com.
Secara tepatnya, PR pulang ke kampung pada 1 Julai dan mengambil cuti sehingga 18 Julai. Bagi yang bekerja, tempoh itu agak lama juga. Cuti ini digunakan sebagai mengambil peluang untuk persiapan menyambut Aidilfitri dan majlis perkahwinan abang PR pada 16 & 17 Julai.
Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing
Memandangkan kesemua adik beradik PR masih bujang, maka tiada masalah untuk berkumpul bagi menyambut lebaran bersama mak dan ayah. Memang rutin tahunan, kami berempat akan bergotong - royong mengemas dan membuat persiapan. Rumah berubah wajah dengan warna dinding yang lebih segar.
Proses kerja akan menjadi lebih mudah apabila mendapat sokongan dan bantuan pihak lain berbanding bekerja sendirian. Bergilir - gilir mengecat, mengemas rumah, menghias dan tak lupa juga tugas menyediakan juadah seperti rendang dan kuih raya.
Momen Hebat Di Aidilfitri
Bagi PR, walaupun ia telah berlaku berkali - kali, namum momen hebat di pagi Aidilfitri tetap dapat dirasakan setiap kali 1 Syawal menjelma. Cuaca seakan merai hari hebat ini, dengan turunnya hujan di subuh setelah berhari - hari dihidangkan dengan cuaca terik dan kering siang dan malam.
Melihat wajah ceria dengan busana baru di hari raya, memang mewujudkan suasana yang sukar untuk dirasa pada hari - hari yang biasa. Hebatnya Aidilfitri!
Masa Berkualiti Bersama Keluarga
Sejak PR mula bekerja di Johor, 18 hari inilah tempoh yang paling lama dapat bersama keluarga di kampung. Bukan sahaja dapat bersama ibubapa, tetapi adik beradik juga. Memang jarang benar dapat berkumpul dan makan semeja bersama, kecuali di hari raya.
Tak dinafikan, walaupun sedarah sedaging namun kadangkala ada juga perselisihan tetapi PR yakin dan percaya pergeseran itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat satu kata putus dan hasil yang terbaik. Nantikan sambungan Memori ini dalam perihal majlis perkahwinan abang PR pada entri akan datang.
Terima kasih membaca. Di kesempatan ini, PR ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda (bagi pembaca yang beragama Islam), moga ceria selalu dan sentiasa dilimpahi rahmatNya.
0 comments