Diceritakan sebuah kisah, disaat seorang bapa berada di hari - hari terakhir hayatnya dia memanggil kesemua anak - anaknya. Tujuan si bapa tiadalah lain kecuali ingin memberi hadiah terakhir kepada mereka.
Tiada harta yang bernilai aku mahu berikan kepada kamu kecuali sebatang pensel ini.
Mereka kehairanan. Mengapa si bapa menunjukkan sebatang pensel lusuh, pendek dan tidak sesuai untuk digunakan lagi. Mereka juga tidak pernah sedar kewujudan pensel tersebut dalam simpanan bapa mereka.
Kenapa dengan pensel ini? Kelihatan seperti biasa dan tidak boleh diguna lagi?
Si bapa tenang dan sedikit demi sedikit menerangkan kepada mereka apa rahsia di sebalik pensel usang yang telah disimpan sekian lama.
"Itu tergantung kepada bagaimana kamu melihat sesuatu. Bagi aku, pensel ini ada 5 tunjang utama, dan kalau kamu dapat menerapnya, kamu akan sentiasa berjaya dalam hidupmu."
5 Inspirasi Sebatang Pensel
- Pensel itu tidak boleh bergerak sendirinya, pasti ada tangan yang membimbingnya. Jika benar bimbingannya, maka hasilnya benar maka begitulah sebaliknya. Diri manusia perlu ada bimbingan supaya kita tidak hanyut dalam kehidupan sendiri. Ikutlah ajaran agama, ikutlah kehendakNya nescaya kamu beroleh kebahagiaan.
- Lama kelamaan pensel ini akan tumpul dan hasilnya akan kurang memuaskan. Kamu akan merautnya supaya kembali tajam. Pensil akan merasa sakit, tetapi hasilnya akan bertambah baik. Dalam kehidupan, kamu akan diuji tapi sedarlah ujian itu, dugaan itu, kesakitan itu akan membuat kamu lebih kuat dan hebat.
- Hasil pensel ini boleh dipadam terhadap kesalahan - kesalahan yang timbul. Kamu boleh mengulang semula sehingga mendapat hasil yang lebih baik. Begitu juga dengan kehidupan, tidak salah memadam kesalahan lalu, memperbaiki sesuatu yang kita pernah lakukan. Pengulangan dan penambahbaikan akan menjadikan kamu lebih matang dan baik dari sebelumnya.
- Pensel ini tidak beerti kalau tiada grafitnya. Cuba kamu renung diri kamu. Kalau hanya mementingkan luaran tetapi tidak menjaga bahagian dalamnya, kamu hanya tin kosong! Jadilah grafit kepada pensel ini yang memberi manfaat kepada orang lain dan sekitarnya
- Hasil pensel ini meninggalkan bekas. Jika baik yang kamu karangkan, baik juga kesudahannya. Jika kamu menulis yang tidak baik, kamu akan mengundang bencana. Begitu juga apa yang kamu lakukan dalam hidup. Berusahalah untuk sedar dan berjaga - jaga dalam setiap tindakan kamu.
Sampai satu masa, pensel ini tidak boleh digunakan lagi, tetapi ingatlah apa jasa dan kebaikan yang telah diberikan sepanjang ia memberikan perkhidmatan kepada tuannya. Sama dengan diri anda, jadilah "pensel" yang memberi kebaikan, mudah - mudahan apabila tiada di dunia ini lagi, jasa dan kebaikan anda akan dikenang dan diingati.
Nota | Dapatkan Ebook PERCUMA 16 Himpunan Entri Motivasi Terbaik padinrose.com (2009 - 2011) untuk mengikuti pelbagai kisah inspirasi kehidupan >>Ebook PERCUMA<<
0 comments