padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

Ekspedisi Gunung Arong

/ April 27, 2013 /
Aktiviti hujung minggu diteruskan dengan ekspedisi mendaki Gunung Arong yang terletak di Tanjung Resang, Mersing. Gunung ini tidaklah tinggi, mengikut apa yang aku baca, ia hanyalah kurang dari 1000 kaki tetapi ia tetap dipanggil gunung. Ekspedisi kali ini bersama dengan sebahagian pelajar Semester 2, 4 dan 5.

Mengikut apa yang dimaklumkan, trek pendakian boleh dimulakan dari kolam air terjun ataupun daripada pantai. Ikut suka lah hendak bermula dari mana. Kumpulan pendakian kali ini bermula daripada pantai dan berakhir di air terjun.

pendakian pantai gunung arong
Permulaan Pendakian

Permulaan pendakian agak curam dan bagi kudrat aku, ia memenatkan. Beberapa kali aku terpaksa berhenti untuk menghela nafas dan merehatkan kaki. Pelajar rata - rata tidak bermasalah untuk mengharungi kecuraman tersebut. Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu aku hehee.

Trek kemudiannya bercampur - campur, landai dan mendaki. Di kesempatan ini sempat untuk aku mengatur pernafasan semula dan menikmati pemandangan laut di celah - celah pokok. Tidak lama kemudian kumpulan pendaki tiba di view point, tempat di mana pemandangan yang tidak terhalang oleh pokok dan boleh melihat laut luas.

permandangan dari gunung arong
Permandangan dari view point Gunung Arong

Perjalanan diteruskan dan sampai ke kemuncak Gunung Arong. Pemandangan di puncak tidaklah bagus berbanding permandangan semasa di view point. Terdapat satu wakaf di situ dan kumpulan sempat untuk berehat dan mengumpul tenaga semula.

Perjalanan turun tidak memberi sebarang masalah, tidak menggunakan banyak tenaga tetapi aku rasa kalau trek itu digunakan untuk pendakian, rasanya lagi memenatkan. Terlalu curam dan terdapat sedikit sahaja kawasan landai. Di hujung trek, kumpulan pendaki teruja melihat air terjun tetapi malangnya kawasan air itu dikepung dengan simen menyebabkan keladak terkumpul dan air tidak begitu bersih dan tidak mendatangkan selera untuk mandi.

Dalam perjalanan pulang, kumpulan pendaki singgah di pantai Air Papan untuk menikmati air laut dan pulang menuju IKM pada jam 5 petang. Dalam hati, macamana agaknya menawan Kinabalu kelak? huhuu, 

Jauh Berjalan Luas Pemandangan

/ April 25, 2013 /
Awal bulan April lalu, aku bergerak dari selatan ke utara, dengan tujuan mengadakan taklimat pelaksanaan ISO 9001:2008 di IKM Beseri, IKM yang ke-9 aku pernah sampai daripada 23 jumlah keseluruhan IKM/KKTM seluruh Malaysia.

Pelaksanaan sistem pengurusan kualiti adalah selari dengan misi supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan terunggul kepada pelanggan.

"Bagi kualiti dengan berkesan, sesuatu organisasi hendaklah terlebih dahulu menentukan keperluan pelanggan dan memenuhinya pada setiap rangkaian proses dengan konsisten. Model sistem pengurusan kualiti yang dinyatakan dalam ISO 9001:2008 adalah berdasarkan kepada kitaran model pengurusan Deming, Plan-Do-Check-Act (PDCA) Cycle." Baca lagi Pemantapan Kualiti

Aku sendiri bukanlah individu yang terlibat dalam pembangunan SPK di IKM Johor Bahru 2004 - 2009 (2009 tahun dipersijilkan), tetapi setelah berada di dalam jawatankuasa dan bertindak selaku setiausaha sedikit sebanyak membantu aku mendapatkan idea pelaksanaan SPK dalam organisasi.

Aku dijemput sebagai pemberi taklimat di Perlis, yang mana itu merupakan pengalaman pertama aku berhadapan dengan semua wargakerja. Menceritakan pengalaman tersebut, aku akui sedikit gementar dan aku rasa suara aku tidak keluar walaupun menggunakan pembesar suara, hahaa..

Ladang Tebu Perlis
Ladang Tebu yang mempesonakan, Sumber : Link

Kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Memang banyak pengalaman baru yang aku tempuh dan aku sedar perjalanan aku masih jauh. Sama juga perjalanan aku dari Johor Bahru ke Beseri, memang terasa jauh dan macam - macam yang aku jumpa dan tempuh.

Dan, antara peristiwa yang berlaku ialah disaman oleh JPJ kerana kenderaan memakai nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi (fancy) dan semasa menuju ke Johor Bahru ditahan oleh peronda lebuhraya atas kesalahan yang sama. Mujur abang polis tidak menggandakan saman, pheww..

Adakah aku merepek dan tersasar dalam entri ini? Entahlah, aku pun tak pasti. Muehehee layan je lah ye..

Takut, Geli dan Fobia

/ April 17, 2013 /
Teringat semasa eksplorasi hutan Taman Negeri Endau-Rompin lalu, ramai juga yang menjerit bila pacat singgah di kaki. Lelaki atau perempuan sama sahaja. Ragam sebegini sebenarnya menambahkan kemeriahan semasa eksplorasi dan dapat juga menghilangkan rasa penat menelusuri laluan yang telah disediakan.

Double Protection

Bagi aku, bukan salah kalau mereka takut, geli atau fobia dengan sahabat hutan tersebut. Nak kata takut pada pacat, rasa macam tak sesuai. Mungkin geli lebih tepat. Lentuk liuk badan haiwan tersebut mungkin menambahkan rasa geli.

Setakat pacat, aku taklah rasa geli. Biasa sahaja, cuma bila dia mula melekat aku akan buangkan cepat - cepat, nanti kesan gatal tu yang buat rasa tidak seronok. Sepanjang perjalanan dalam hutan, hanya 2 tempat sahaja yang aku tidak dapat kesan kehadirannya.

Haiwan yang aku tidak suka, atau boleh kata geli adalah siput! Memang aku anti betul dengan siput. Adik beradik aku suatu masa dahulu sering menyakat dengan melempar siput kepada aku. Tak guna betul. Ada juga di suatu masa mereka mengumpul sejumlah siput di dalam baldi dan melemparkannya pada aku. Tak cukup tanah rasanya untuk menggelupur melepaskan diri.

"Hai..."

Haiwan berkulit lembab ni biasanya mengundang rasa geli. Katak pun sama la, tapi aku masih boleh menguis dengan kaki kalau - kalau ia berhampiran. Ular? Ini bukan rasa geli, tapi mengundang rasa takut! Teringin juga bergambar dengan ular yang biasa dipertontonkan, tapi tulah... dia masih lagi memegang watak ular dan boleh jadi berbahaya bila - bila masa.

Bagi haiwan yang teringin sangat untuk aku pegang ialah, anak singa.. heheee selalu tengok dalam National Geographic, anak - anak singa ni cool dan comel. Hahah, apa pula kata anda? Geli dan takut pada sesetengah haiwan kecil yang tidak berbahaya seperti siput? Kongsikan...

Hempedu Lekat Di Hati

/ April 6, 2013 /
Terdengar lagu Pening dendangan Ezlynn & M Daud Kilau ada menyebut 'bagai hempedu lekat di hati'.. Terdetik untuk mengetahui maksud peribahasa itu dan aku mendapat jawapannya, tidak dapat dipisahkan. Jika anda lihat dalam kehidupan ini juga banyak perkara bagai hempedu lekat di hati.

Isu kali ini aku cuba kaitkan pengaruh rakan sebaya, bagai hempedu lekat di hati dalam kehidupan. Dari zaman kanak - kanak, meningkat ke awal remaja dan beralih ke peringkat dewasa, pasti hidup kita dikelilingi dengan rakan taulan, sahabat handai yang boleh dikelaskan sebagai rakan sebaya.

Rakan sebaya adalah berperanan penting dalam mengisi kehidupan kita. Walaupun pendapat lain mengatakan rakan sebaya ini rakan yang seusia dan mempunyai kegemaran yang sama, cuba kita kembangkan sedikit skop takrifan rakan sebaya kepada rakan yang mendampingi dan menggauli kita.

Rakan sebaya boleh mempengaruhi watak dan perwatakan seseorang. Samada perwatakan yang positif atau sebaliknya, bergantung kepada rakan yang didampingi. Pada situasi ini, individu yang dominan akan berjaya mempengaruhi rakan lain sebagai pengikut.

eksplorasi taman negeri endau rompin
Eksplorasi Hutan sebagai Riadah

Rakan sebaya yang selalu bersama, pasti akan menimbulkan keserasian, kepercayaan dan tanggungjawab antara satu sama lain. Kadangkala, ia sebagai tempat untuk mengadu, bercerita dan berkongsi masalah dan cuba untuk sama - sama menyelesaikannya.

Kadangkala, rakan sebaya juga sebagai individu yang boleh memberi nasihat dan pandangan dalam sesuatu perkara. Seperti yang kita ketahui, kita tidak boleh melihat diri sendiri tanpa bantuan lain seperti cermin atau paparan gambar. Begitu juga dengan kehidupan, kita tidak boleh dengan hanya melihat diri sendiri dan kadangkala perlukan bimbingan dan nasihat orang lain juga.

Aku rasa setakat ini sahaja. Anda perlu bijak memilih rakan sebaya, dan juga bijak dalam menentukan sebarang keputusan bersama. Anda yang tentukan, memilih rakan sebaya yang berguna atau memilih rakan sebaya yang menuju kehancuran. Lihat cermin, tanya diri anda.. Sekian
 
Lifestyle BlogsReal Time Web Analytics
Copyright © 2009-2017 padinrose - Tips, Hobi dan Motivasi, All rights reserved | Disclaimer | Sitemap