padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

Pantun Marah Orang

/ January 23, 2013 /
Aku tak berapa faham sebenarnya kenapa ada individu yang gemar sangat mencari "pantun marah orang" di enjin carian. Nak marah orang kena berpantun ke? Atau pantun tu OK sahaja tapi disampaikan dalam nada marah?

Sambil - sambil aku memerhati katakunci dalam analisis getclicky, termangu sekejap katakunci "pantun marah orang" kerap muncul. Memang respect lah orang yang memaki hamun sambil berpantun. Biasanya kalau dah marah dan maki hamun, kebanyakan ayat yang dilontar juga memang kurang enak. Penyampaian melalui pantun mungkin boleh mengurangkan kekesatan ayat makian tu barangkali.

Aku ada juga terbaca di blog saudara TehR, berkenaan carian "pantun maki orang".. hahahh memang dah takde kerja agaknya.. Kalau aku dah tak boleh sabar, terus maki je tak payah susah - susah nak berpantun. Hehehee..

marah orang


Walaupun aku pernah menulis di blog ini sendiri tentang kepentingan sabar, jaga amarah dan lakukan tindakan rasional tetapi aku juga manusia biasa yang kadangkala sabar tu boleh jadi senipis - nipisnya. Tetapi nak berpantun sambil marah, macam leceh je... hahahaa

Aku cuba bayangkan pemain bolasepak yang tidak berpuas hati dengan layanan pengadil, terkial - kial mencari pantun untuk memaki pengadil perlawanan. Rasanya elok dapat kad kuning terus bertukar menjadi merah kerana dakwaan sengaja melambatkan permainan.

Daripada mencari pantun marah orang, adalah lebih baik cari maklumat yang lain. Tak gitu??

Belum Jatuh Cinta

/ January 19, 2013 /
Bekerja di hari Sabtu yang disimbahi dengan hujan kurang produktif. Suasana hari Sabtu memang berbeza walaupun kelas seperi biasa. Minggu ini 19 Jan adalah hari bekerja di tempat aku bagi menggantikan cuti 25 Jan. Barulah boleh cuti panjang sikit dari Khamis sampai Isnin (24 - 28 Jan).

Aku berpeluang menyaksikan 2 perlawanan terakhir Johor Darul Takzim di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin. Terbaru di mana pasukan JDT terikat 2 -2 dengan pasukan ATM. Corak permainan JDT tampak makin bagus tetapi tindakan penyudah masih belum berkesan.

Bukan kata aku beralih minat kepada pasukan JDT, tetapi aku cintakan bolasepak. Aku masih belum jatuh cinta dengan pasukan Johor walaupun 2013 adalah tahun ke lapan aku di bumi Johor. Kebangkitan semangat penyokong Johor kebelakangan ini adalah disebabkan perubahan yang telah dilakukan semata - mata demi kemajuan pasukan bolasepak Johor.


Aku berpeluang menyaksikan idola bolasepak aku, Safee Sali bermain di depan mata. Semasa di Selangor, aku tidak berpeluang menonton dengan kerap kerana faktor jarak dan juga kewangan. Bila dah ada depan mata, aku boleh kata ia sangat mengujakan.Cuma, bagi 4 perlawanan pertama ini, kelibatnya agak merudum dan aku yakin dan percaya Safee masih boleh melakukan sesuatu untuk pasukan JDT. 

Jumlah penyokong yang ramai dan 'kebanjiran' penyokong di stadium agak merunsingkan juga tapi itulah bolasepak. Ia sebagai sukan nombor satu maka tidak menjadi kehairanan kalau ada yang terpaksa berdiri, meringkuk, beriba dan mengintai di sebalik kepala sepanjang perlawanan.

Jersi Pasukan bolasepak Johor Darul Takzim
Jersi Pasukan Bolasepak johor Darul Takzim 2013

Tahun ini mungkin tambah lagi satu koleksi jersi bolasepak tempatan, JDT. Sebelum ini aku sudah memiliki 2 jersi original Selangor, 1 jersi original Perak dan satu jersi original Terengganu. Jersi original di Malaysia ini bukanlah mahal sangat berbanding jersi bolasepak antarabangsa. Jadi, jika anda peminat bolasepak tempatan ayuh teruskan memberi sokongan tidak kira apa jua jenis sokongan. Sekian.

Liga Super Malaysia 2013

/ January 10, 2013 /
Peminat bolasepak Malaysia pasti teruja apabila kempen liga Malaysia sudah pun bermula. Kegagalan Malaysia di Kejohanan AFF seolah - olah telah dilupakan dan peminat kembali memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing - masing.

Seperti entri terdahulu, usah dikenang kegagalan lalu, kerana ia bukanlah penamat segalanya. Fokus pada Liga Malaysia, dan pasti banyak perkara yang dibincangkan rakan dan teman di kedai kopi, pejabat mahupun di mana - mana mengenai persembahan pertama pasukan yang bertanding.

Kempen kali ini dimeriahkan lagi dengan kemunculan kuasa baru, Johor Darul Takzim yang memiliki beberapa pemain bintang bolasepak tempatan. Walaupun kalah pada perlawanan pertama yang sengit, tapi aku yakin dan percaya pasukan JDT akan bangkit dan segera melupakan kekalahan pada perlawanan pertama.

Jersi Selangor 2013 Home

Jersi Selangor 2013 Away

Jersi ini boleh dibeli di SINI

Bagi aku, tetap setia dengan pasukan kesayangan, Selangor Darul Ehsan. Hanya merah kuning, itu SelangorKu. Kalau tengok pada senarai pemain Selangor musim 2013 ini, agak seimbang juga dengan kehadiran pemain baru digandingkan bersama dengan pemain berpengalaman. Aku tidak kisah dari mana dan apa latarbelakang pemain tersebut, bila sahaja menandatangani kontrak profesional, mereka harus bangga menyarung jersi Merah Kuning.

Aku mengharapkan sekalipun agak sukar untuk merebut gelaran juara, tapi setidak - tidaknya boleh mencabar kejuaraan. Sudah lama juga pasukan Selangor hampa tanpa membawa pulang sebarang piala.

Apa kata anda, peminat bola sepak Malaysia?

Sumber Gambar : Facebook selangorfc

Jatuh Bangun Semula

/ January 9, 2013 /
Pernah aku karangkan hal hidup ini singkat sahaja. Ia dipisahkan diantara huruf B dan D. Huruf C itulah yang perlu difikirkan sedalamnya, samada mahu memilih hidup yang baik atau sebaliknya. Ketinggalan membacanya anda jangan resah, boleh baca entri Hidup Yang Singkat. :D

Realitinya, sebagai insan biasa memang sentiasa diuji yang tidak lain tidak bukan untuk mematang, membentuk dan memberi dorongan supaya sentiasa bersedia dan berusaha menjadi manusia yang hampir sempurna. Pokoknya, sejauh mana manusia itu tahan diuji dan bagaimana mereka menghadapinya.

Dari sudut pandang positif, jika anda jatuh, gagal dan kecewa ia bukanlah suatu pengakhiran. Sebaliknya, sebagai manusia yang tidak mudah putus asa, anda perlu melihat kegagalan atau pengakhiran itu suatu permulaan. Sikap tidak mengalah dan sentiasa berfikir masih ada peluang untuk anda memperbaiki kesilapan lalu akan menjadikan anda lebih matang dan rasional dalam membuat tindakan yang mendatang.


Benarlah kata - kata "pengalaman mendewasakan", andai anda melihat pengalaman itu suatu pengajaran. Sesuatu yang mengajar anda untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Anak kecil yang berulangkali jatuh, cuba bangun dan gigih untuk berdiri dan memulakan langkah yang pertama.

Sekadar berkongsi pengalaman yang aku lalui, aku hampir sahaja putus asa dalam pelajaran semasa awal pengajian di universiti kerana aku sangat bermasalah dengan pembelajaran dan penyampaian dalam Bahasa Inggeris. Apa yang menyedarkan aku ialah harapan keluarga yang telah banyak berkorban. Aku bangkit dan walaupun tidak setinggi mana tetapi aku berjaya menamatkan pengajian.

Jika mahu dicoretkan pengalaman lain dalam halaman ini, aku pasti ia akan mengambil ruang yang panjang maka aku hanya meletakkan satu contoh sahaja sebagai perkongsian. Apa yang aku mahu sampaikan, hanya sebaris ayat yang ringkas. Kegagalan bukanlah suatu penamat. Ia sebagai permulaan bagi kisah anda yang baru.

Terima kasih jika anda sampai ke baris terakhir ini. :D

Note : Inspirasi dari blog entri maCy

Nostalgia : Koleksi Permainan

/ January 5, 2013 /
Seperti entri terdahulu, aku menghabiskan masa hampir 2 minggu di kampung. Mengambil peluang cuti rehat dan juga bersama mak ayah di kampung. Di masa terluang, sempat juga aku mengorek kembali koleksi permainan aku semasa zaman kanak - kanak. Ia masih tersimpan rapi dan aku tidak tahu sampai bila aku akan menyimpannya.


Ada di antara permainan ini aku beli, minta kawan, terjumpa di mana - mana dan pemberian dari sepupu. Setiap karektor aku berikan nama dan nombor sebab mereka ini aku jadikan pemain bola 5 sebelah (bermain dengan abang aku). Tu pasal kalau anda perasan ada nombor yang tercatit pada badannya.

Getah pemadam yang dihiasi dengan bendera negara juga menjadi kegilaan masa sekolah rendah, di mana jumlah sebenar terkumpul adalah 36 kesemuanya. Ada di antaranya hasil dari kemenangan ketika beradu dengan rakan sekelas. Negara yang banyak memberi tuah pada aku ialah negara China.


Permainan bola tepuk adalah yang terawal dalam sejarah aku beradu permainan bola dengan abang aku sebelum penggunaan PS1 dan PS2. Tidak banyak yang tinggal, kerana mak aku telah membuang dan membakarnya. Ini sahaja yang tinggal untuk dijadikan kenangan. Baca Lagi entri Nostalgia : Bola Tepuk.


Permainan kad dan terup juga merupakan salah satu cabang permainan waktu dahulu. Kad terup yang dihiasi dengan pelbagai jenis permainan, seperti kapalterbang, helikopter dan kereta menjadi pilihan. Dan bagi gambar yang terakhir adalah kereta Tamiya yang menjadi kegilaan sekitar 97-99. Aku memiliki 2 jenis, Shooting Star dan dalam gambar ini St. Dragon tak salah aku. Masih boleh berfungsi dengan baik.


Menginjak remaja dan dewasa, permainan ini telah diketepikan, tapi aku tidak pernah terniat untuk membuangnya kerana ia adalah suatu nostalgia. Jika melihat perkembangan teknologi masakini dan kebanyakkannya kanak - kanak telah dihidangkan dengan kemudahan permainan moden. Mereka lebih sanggup menghadap aplikasi permainan komputer berjam - jam dan tidak mengendahkan keadaan sekeliling.

Ada yang baik, ada yang buruknya. Tepuk dada tanya selera. Ibubapa yang bertanggungjawab sepenuhnya mengatur dan mengawal pergerakan anak - anak daripada terpengaruh dengan pengaruh sampingan seperti rakan sebaya dan media massa. Bagi pendapat peribadi, aku enjoy masa kanak - kanak aku dahulu dan aku terpaksa mengaku dan menerima keadaan sudah berubah kini.

Pendapat anda?

Pemantapan Kualiti

/ January 2, 2013 /
Aku memutuskan untuk menulis hal berkaitan ke arah pemantapan kualiti bagi entri pertama tahun 2013 ini. Aku tidak meletakkan sebarang pengkhususan sebaliknya anda sendiri pilih ia berkenaan apa yang sesuai dengan anda.

Kualiti mengikut kata Standards adalah menerangkan keseluruhan ciri - ciri entiti (produk & perkhidmatan) yang dapat memenuhi kehendak pelanggan. Ia termasuk

a. Memberi perkhidmatan yang terbaik
b. Memberi perkhidmatan yang terunggul
c. Memberi perkhidmatan yang menepati spesifikasi
d. Memberi perkhidmatan yang memberi kepuasan kepada pelanggan

Ringkasnya, kualiti adalah apa yang ditafsirkan oleh pelanggan, bukan apa yang menjadi tafsiran anda (pemberi perkhidmatan).

Bagi mengurus kualiti dengan berkesan, sesuatu organisasi hendaklah terlebih dahulu menentukan keperluan pelanggan dan memenuhinya pada setiap rangkaian proses dengan konsisten. Model sistem pengurusan kualiti yang dinyatakan dalam ISO 9001:2008 adalah berdasarkan kepada kitaran model pengurusan Deming, Plan-Do-Check-Act (PDCA) Cycle.

Sumber : Link

Anda perlu menentu dan merancang pendekatan proses yang sesuai. Pendekatan proses adalah aktiviti atau kumpulan aktiviti yang menggunakan sumber serta diurus supaya membolehkan transformasi input kepada output. Teorinya, pendekatan proses berkualiti menjamin kejayaan transformasi input (keperluan pengguna) tersebut.

Amekaww!!Belajar ISO:QMS pulak dah, hahaa.. Kalau ikutkan memang banyak lagi, tapi dalam konteks blog aku ni, cukuplah sekadar ini sebagai asas dalam pemantapan kualiti. Tetapi, anda jangan risau. walaupun aku tulis berkaitan organisasi di bahagian atas, ia boleh juga diimplimentasi ke dalam apa jua bentuk pemahaman yang anda suka dengan sedikit modifikasi.

Apa yang penting, ambil asas pendekatan proses,

Input (keperluan) --> Proses Kerja (Aktiviti) --> Output (penuhi input?)

Walau apa jua aktiviti, perkara, proses atau projek yang anda mahu lakukan, kembalilah kepada asas tersebut, dan pastikan proses kerja anda melalui model PDCA. Rancang aktiviti anda, laksana dan semak jika ia berjaya atau tidak. Jika anda ada mengesan sebab atau punca kegagalan (ketidakpatuhan) sesuatu aktiviti, bertindak untuk membuat pembetulan dan sebaiknya tindakan pencegahan supaya tidak berulang semula.

Aku bagi contoh. Situasi : Perjalanan balik kampung

Plan : Rancang penjalanan anda
Do : Perjalanan
Check : Semasa perjalanan, tayar meletup.
Act : Tindakan ini terbahagi kepada banyak kategori pulak, pembetulan segera : tukar tayar dan teruskan perjalanan, tindakan pembetulan/penambahbaikan : sebelum perjalanan periksa semua hal dulu....

Perjalanan balik kampung yang berkualiti adalah di mana tiada sebarang gangguan aktiviti untuk menjayakan transformasi input. 

Hahahh, paham ke tidak? Aku harapkan walaupun anda tidak faham 100%, tetapi sekurang - kurangnya anda boleh faham mengenai satu perkara, jika anda ingin berjaya dalam sesuatu perkara (aktiviti), haruslah PDCA pendekatan proses aktiviti yang mahu anda lakukan. Barulah berkualiti.

Sekian.
 
Lifestyle BlogsReal Time Web Analytics
Copyright © 2009-2017 padinrose - Tips, Hobi dan Motivasi, All rights reserved | Disclaimer | Sitemap