padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

padinrose | Tips, Hobi dan Motivasi

Sukan MARA vs Audit ISO

/ June 23, 2012 /
Menyentuh hal kerjaya, tidak banyak yang berubah. Aku masih kekal sebagai Pegawai Latihan Vokasional di IKM JB, hahaha baru kerja 3 tahun takkan dah naik J44 pulak ye tak, lagipun banyak lagi senarai J41 lain yang menunggu tu. Lainlah kalau skim DG, cukup time-based, naik secara automatik :D

Mei lepas, menerusi entri Ramuan 3 dalam 1, aku menceritakan hal audit persijilan semula oleh pihak SIRIM. Pengesahannya, SIRIM akan datang mengaudit Sistem Pengurusan Kualiti IKMJB pada 27 - 29 Jun 2012. Skop audit kali ini dilihat secara menyeluruh sebab dah 3 tahun kan. 3 tahun tu maknanya da tarikh luput la, ekekee.

Minggu yang sama, berlangsungnya Sukan MARA 2012 Malaysia kali ke- 7, 24 - 30 Jun 2012 bertempat di German - Malaysian Institute, Bangi, Selangor. Dengarnya, kontijen Johor paling banyak atlet dan 33 orang daripadanya adalah daripada IKM JB. 


Salah seorang daripada 33 tu, aku la. Hehehee kalau Sukan IKM/KKTM tahun lepas di KKTM Masjid Tanah, aku mewakili IKMJB bagi acara bolasepak dan mendapat emas, di Sukan MARA kali ini aku akan mewakili MARA Johor bagi acara Futsal Lelaki (Terbuka). Harapan? Kalau tak dapat perak, dapat emas pun jadilah.

Sebenarnya, aku terlibat secara langsung bagi kedua - dua perkara ni. Audit ISO dan juga Sukan MARA. Tetapi aku tak dapat bersama Pasukan ISO IKMJB sebab aku memilih untuk pergi bermain di Sukan MARA. Aku yakin audit kali ini tidaklah mendatangkan banyak masalah sebab kerja yang mengikut prosedur confirm la takde masalah sangat, kan?

Apa pun, di mana bumi di pijak di situ langit di junjung. Walaupun aku amat meminati pasukan Selangor (dalam apa jua acara sukan), tapi aku bangga dengan jersi aku. Aku bangga mewakili pasukan MARA Johor, dan aku akan bagi sumbangan sebaiknya pada kontijen MARA Johor. 

Doakan kejayaan aku di Sukan MARA kelak. 

Seronok Juga Berblog

/ June 20, 2012 /
Hehehh.. Tak sangka dah dekat 3 tahun juga aku berblog. Senang je nak ingat, aku masuk kerja je blog aku baru nak hidup masa tu. Tapi sampai bila bertahan tu, aku tak pastilah. Pada awalnya ramai juga kawan - kawan menempelak apa yang boleh dapat dengan berblog? Memang susah juga nak terangkan kalau tidak berada dalamnya.

Ibarat pengalaman memakan cili, jika tidak dicuba manakan tahu rasa pedasnya? Boleh ke perumpamaan macam tu? Belasah jelah ye tak..Hehee.. Apa pun, berblog ni macam - macam pengalaman yang kita boleh timba. Sekalipun berblog ini perkara pokoknya adalah tulisan, tetapi dengan tulisan itu kadangkala boleh jadi lebih dari sekadar penulisan.

Kepuasan utama tentulah apa yang di tulis, di baca oleh pembaca dan menerima maklum balas melalui komen - komen pembaca. Ada yang memberi cadangan, pendapat, dan juga ada yang bertanya semula. Komunikasi macam ni pun di kira best jugak, berbanding laman sosial popular yang lain.

Kenduri Kahwin Partner Striker masa Di UTM dulu..

Selain daripada faktor penulisan dan maklum balas pembaca, keseronokan berblog ni juga bilamana ada penulis blog mengadakan pertandingan, dan perkara seumpama seperti giveaway..memang seronok lah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau bernasib baik, boleh menang dan dapat hadiah istimewa dari penganjur.

Pengalaman aku sendiri, walaupun boleh dikira dengan jari, tapi aku rasa dah cukup best. Terbaru, aku bertuah juga kiranya mendapat hadiah RM60 daripada Azura, pemilik laman papankekunci.com menerusi giveaway yang dianjurkan. Selain itu, dapat ole - ole daripada Puan Suri, akibat banyak bercakap dalam blognya suatu masa dulu.

Termasuk juga menang tempat pertama Peraduan Teka Skala Kereta yang dianjurkan Bro Ismail. Pastu menang hadiah saguhati giveaway yang dianjurkan Lagenda Mahsuri. Hah, kan best tu?? Jangan lupa juga, aku pernah menang tempat pertama pertandingan header tercantik yang dianjurkan Alienneliz. Tu pasal aku taknak ubah header yang ada sekarang ni, :D

Kenangan bertentang mata dengan blogger pun pengalaman yang menarik juga. Aku pernah berjumpa dengan Belalang semasa menghadiri kursus di ILKM, Jawi dan berjumpa Bro Tehramuan semasa menghadiri kursus di KKTM Pasir Mas. 

Heh, memang banyaklah keseronokan berblog ni. Bukan menulis semata - mata, tetapi jalinan hubungan persahabatan maya antara blogger. Aku pernah juga buat pertandingan melukis untuk blogger dengan tajuk "Lukisan Wang", tapi mungkin susah nak melukis, penyertaan sedikit je dan aku ambil keputusan semua yang masuk dapat hadiah, wohaaa... Lumayan Bro Gnesop masa tu...

Oklah, sampai di sini aje. Memang nak tulis lagi sebenarnya, tapi panjang sangat nanti ke laut pulak jadinya. Rakan pembaca bagaimana? Bagi yang ada blog, apa keseronokan yang anda dapat dengan berblog? Ceritalah sikit, hee.... 

Jeling Dahulu Sebelum Bercakap

/ June 17, 2012 /
Seminggu dah EURO 2012 berlangsung, ada di antara perlawanan tu aku sempat tengok dan kadang - kadang tv yang tengok aku. Berkenaan dengan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan Edisi 2012, pada awalnya aku menjangkakan pasukan Sepanyol dan Belanda akan bertemu di peringkat akhir, tapi... Belanda dah macam nyawa- nyawa ikan je, ekekee..

Bila bersembang di kantin bersama rakan kerja, memang tiada topik lain yang di bincangkan. Bola. Bola. Bola. Bukan sahaja EURO 2012, tapi antara yang terhangat juga berkenaan kejayaan Harimau Malaya membenam cabaran Singapura di Stadium Shah Alam (SSA) 12 Jun lalu. Selepas ini? Pastinya kejayaan Malaysia U22 pulak yang berjaya menewaskan Qatar 2 - 0, juga di SSA.


Teringat pula tahun 2011, final Piala Malaysia diantara Pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan di adakan di SSA. Masa tu, banyak kontroversi yang melanda termasuk harga tiket, venue yang kononnya tak ubah seperti kandang lembu dan beberapa perkara lagi. Tetapi tak sangka 'stadium kandang lembu' itulah yang menjadi medan perlawanan antarabangsa untuk pasukan kebangsaan.

Heheh, di mana stadium lain yang lebih gah berbanding 'stadium kandang lembu'? Betul lah kata orang, bercakap (atau buat sesuatu tindakan) jangan ikut sedap mulut dan hati je, ekekee... Satu jari menuding pada orang lain, jangan lupa 3 jari lagi mengarah kepada diri sendiri. Memang biasa sangat perkara ini berlaku. Kalau mencari kesalahan orang, memang tak bagi can punya.

Seeloknya, hisab diri sendiri dahulu. Jika hendak mengata orang, cermin diri dahulu. Lagipun, tak perlulah mengata orang ni, lebih baik berdiam diri aje. Bukan apa, kalau kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, takut - takut berlaku fitnah dan kekacauan pulak di kemudian hari. 

Oklah, sampai di sini sahaja coretan aku pada kali ini. Bukan ingin menyerang sesiapa, cuma menyuarakan pendapat melalui pemerhatian aku. Apa kata anda?? 

Asah Senjata Anda

/ June 13, 2012 /
Anda mahir menggunakan senjata? Apa tujuan anda memiliki senjata? Adakah senjata yang anda ada itu sah untuk di miliki? Jangan jawab sekarang, kerana anda perlu menghabiskan bacaan dan kemudian anda mahu menonton televisyen atau bersantai di kedai kopi, anda pergilah.

Aku rasa kisah penebang pokok dan kapaknya sudah biasa anda dengar dan baca. Apa? Tidak pernah dengar? Ok.. ok.. aku ceritakan secara sinopsis sahaja. Jika ada kekurangan, anda kena baca versi yang lainlah ya.

Diceritakan seorang penebang pokok telah diterima bekerja dan sebagai penebang, kerjanya adalah menebang pokok. Jika menebas lalang, maka kisah ini adalah kisah Si Penebas Lalang. Hahahh gurau saje. Maka berkatalah majikannya akan gaji yang bakal diterima adalah setimpal dengan jumlah banyaknya pokok yang ditebang.


Dengan berbekalkan sebilah kapak, majikan mengarahkan Si Penebang memulakan tugasnya. Hari pertama, hasil tebangan pokok sangat memuaskan. Majikan kagum dengan usaha dan keringat penebang tersebut. Maka dipendekkan cerita, Si Penebang meneruskan tebangan pokok pada hari berikutnya tetapi jumlah pokok yang di tebang semakin hari semakin berkurangan.

Gelisah dengan mutu kerjanya, Si Penebang segera mendapatkan majikannya dan memberitahu keadaannya. Dia takut kehilangan kerjanya. Maka berkatalah majikannya, "Adakah kamu sudah mengasah kapakmu?". "Aku sibuk menebang pokok dan tidak punya masa untuk mengasah kapak", jawab Si Penebang.

"Itu masalahnya. Hari pertama kamu menggunakan kapak yang tajam dan hasilnya sangat memuaskan. Tetapi hari demi hari, kamu gunakan tenaga yang sama, kapak yang sama tetapi ia tidak di asah......"...Maka mengangguklah Si Penebang, beredar dan mendapat satu pengajaran di situ.

Kalaupun anda terlalu sibuk dengan sesuatu perkara, anda hendaklah beredar sebentar dan berehatlah. Refresh semula. Berehat bukan beerti anda berhenti, tetapi mengumpul semula kekuatan, mengasah semula fikiran, mental, spiritual dan memperbaiki motivasi diri.

Kadangkala anda terlalu sibuk dengan pekerjaan anda tidak kiralah yang bekerja, yang belajar, yang melepak.. Tetapi jangan lupa, sibukkanlah juga diri anda dengan mengisi perkara lain seperti pertambahan ilmu, maklumat, hubungan jaringan sosial dan penting juga peningkatan kerohanian.

Ok, itu saja. Berdasarkan soalan di awal entri tadi, macam tak kena je soalan dengan isi kandungan entri ini.. Hehee tu pasal aku tak suruh jawab, ekekee! 

Kata Dua : Susahnya

/ June 10, 2012 /
Menurut PRPM, takrifan bagi "Kata Dua" agak menyeramkan juga. Ia berbunyi "tuntutan atau syarat oleh sesuatu pihak yang mesti dipenuhi oleh pihak penerima tanpa soal jawab (jika tidak sesuatu tindakan akan diambil terhadap pihak penerima)".

Apa yang hendak aku kisarkan dalam blog entri kali ini tidaklah se-serius takrifan berkenaan cuma dalam hidup ini kadang - kadang tidak terlepas daripada situasi kata dua. Bak kata, ditelan mati emak diluah mati bapa. Ada dua atau lebih perkara yang perlu dipenuhi dalam sesuatu masa dan di mana perkara itu sama pentingnya.

Aku pun tidak pasti kenapa perkara sebegini sering berlaku pada aku. Cuma apa yang boleh aku fikirkan, mungkin dalam beberapa keadaan ia berpunca daripada kealpaan aku sendiri dan memaksa untuk memilih jalan yang sukar dan bertindan.

Jika anda mengikuti coretan aku, berdasarkan entri Rancangan Tergendala, aku masih tidak berpeluang balik ke kampung. Ada sahaja perkara yang menjadikan aku berada dalam situasi kata dua seperti yang di sebut di atas sana. Minggu demi minggu, aku menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung.Terbaru, aku terpaksa batalkan juga sebab belum siap menanda kertas peperiksaan akhir pelajar.

Jersi MARA Johor masa Piala Dato KP, 2010

Minggu depan, 16 - 17 akan berkampung di KKTM Sri Gading untuk latihan pusat Kontinjen MARA Johor. Minggu hadapannya akan bergerak ke Bangi untuk Kejohanan Sukan MARA. Mungkin lepas sukan baru boleh balik kampung kot.. Harap - harap tiada apa - apa yang bertindan lagi.

Ini sekadar contoh sahaja. Masih banyak perkara lain lagi. Tetapi antara pilihan kata dua yang paling aku benci ialah " Jika awak sayang pada saya, awak lepaskan saya"... Falsafah mana yang di ambil? entahlah... mungkin terikut sangat Filem Hindustan atau drama Melayu hahahh...

Oklah, mata pun dah makin mengecil ni, penangan EURO 2012 la ni... Hahahh.. Untuk perkongsian, apa kata dua yang paling menyusahkan anda?? Cerita lah sikit, :D

Penyakit Datang Serentak

/ June 6, 2012 /
Benda yang paling tidak di ingini berlaku ialah penyakit. Kalau dah datang penyakit, memang sakit la jawabnya. Macamana rasa sakit tu? Macam kena tampar? Tak sakit.... Macam kena terajang? Tak sakit..... Ada lagi penyakit yang betul - betul buat kita sakit.. Dalam kes ini aku je la yang sakit kot, jadi penggunaan "kita" tu umum sahaja.

Yelah, manusia sendiri pun kadang - kadang kurang sihat, atau tidak seperti keadaan normal, contohnya suhu badan terlebih dah jadi demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, sakit pinggang, lenguh badan.... Ketidaknormalan itu menyebabkan diri tidak selesa dan menyatakan "aku sakit". 

Kalau penyakit yang lebih ekstrem seperti kencing manis, bergabung pulak dengan darah tinggi, kolesterol, gout dan pelbagai lagi penyakit termasuk barah, wahh... full house! Harap - harap, aku dan anda (pembaca) dijauhi segala penyakit yang menggerunkan ini dan dapat meneruskan kehidupan dengan kesihatan yang baik. 

Macamana nak dapatkan kesihatan yang terbaik??  [10 markah]


Hahah, mood menanda kertas peperiksaan, macam ni lah gayanya.. Sebenarnya aku dah merapu ni, idea asal tadi lain,ni dah jadi lain dah. OK. Sebenarnya aku nak cerita, sedangkan manusia ni pun ada kurangnya, inikan pula objek atau mesin yang di reka cipta oleh manusia. Senang cerita, tiada apa yang sempurna. Kalau kita kata manusia cukup sempurna dari segi fizikalnya, tapi bab - bab lain belum tentu, jadi sama konsepnya dengan teknologi ciptaan manusia.

Dalam minggu ini sahaja, aku dah berbelanja besar sebab kereta dan telefon aku berpenyakit! Penyakit datang serentak. Uiii tak cukup fungsi rasanya kalau telefon tiada, jadi mahu tak mahu terpaksa la aku merugikan diri sendiri membeli telefon baru. Kalau tidak di selesaikan awal - awal, mungkin lagi parah kenanya nanti..

Selesai 2 perkara, baru nak rasa lega, penyakit ketiga pulak datang. Nak menanda kertas peperiksaan, tapi entahlah.... MMMMMMMMalasss je, tak bergerak - gerak ke subjek yang lain... Bila tengok tulisan student, kadang - kadang kena pakai kanta baru boleh baca. Halus sangat huruf - hurufnya! huhuhhh... Macamana lah nak lawan Penyakit M nih?

Ingat Sejarah

/ June 1, 2012 /
Sejarah. Sewaktu di bangku sekolah dulu, subjek ini bukanlah subjek kegemaran aku jika hendak di bandingkan dengan Fizik, Kimia dan Bahasa Arab Tinggi. :D Keputusan percubaan SPM, aku hanya mendapat D, lebih teruk berbanding subjek Bahasa Inggeris.

Hampir 10 tahun meninggalkan alam persekolahan, aku tak pastilah silibus pelajaran bagi subjek Sejarah ada perubahan atau sebaliknya, tapi bagi aku Sejarah SPM terlalu banyak sangat, setebal - tebal buku tu penuh dengan tulisan dan bagi aku sendiri, sangat membosankan dan aku mengaku sendiri, dah tak ingat pun apa yang pernah belajar dahulu.

Sejarah adalah penting. Bagi individu yang berkebolehan menghafal tulisan itu dengan baik, baguslah. Tetapi bagi aku, jenis yang kurang dalam menghafal dan lebih kepada konsep dan pemahaman ilustrasi, memang payah untuk menguasai perkara sedemikian.

Aku lebih baik mengingati perkara yang di terangkan dalam bentuk ilustrasi. Aku kira, lebih ramai individu gemarkan begitu untuk mengingati sesuatu perkara. Contohnya bacaan komik / kartun. Individu lebih mengingati setiap babak yang di terbitkan dalam setiap keluaran. Komik Dragon Ball, One Piece, Lingkaran Terkunci (sekadar beberapa contoh) lebih mudah di ingati berbanding Revolusi Perindustrian dalam Sejarah Peradaban Dunia Ting. 4.

Lingkaran Terkunci Bil. 99 (Episod Akhir)

Jika subjek Sejarah itu di terbitkan dalam bentuk ilustrasi - kisah bagaimana Portugis menawan Melaka, bagaimana keadaan Tanah Melayu dalam era penjajahan British dan Jepun.... aku rasa, pelajar lebih mudah ingat dan boleh score dalam peperiksaan. Mengambil contoh filem Shaolin Soccer, walaupun sudah lama tidak menontonnya, tetapi hampir semua babak dalam filem itu boleh di ingat dengan mudah.

Lagi sekali aku ulang, Sejarah adalah penting. Sebenarnya tidak kira perkara apa pun, sejarah itu perlu di ketahui dan di ingat supaya kita sering beringat. Supaya kita lebih menghargai. Supaya kita lebih berwaspada. Apa pun yang kita ada sekarang, kita lalui sekarang, ingatlah pada sejarah. Apa asal usul kita, apa peristiwa lampau yang membawa kita kepada hari ini.

Paling tidak jika anda tidak dapat mengingati dan menghayati sejarah dunia, sejarah Malaysia... setidak - tidaknya ingatlah sejarah keluarga anda, dan yan paling penting dan mustahak, ingat sejarah diri sendiri!! Jangan sampai orang gelarkan diri anda "orang lupa diri". Teruk sangat tu, takut nanti jadi kes Si Tanggang pula.

Umm, panjang lebar pula, asalnya tadi mahu menulis 2 - 3 perenggan sahaja. Tapi takpelah, kalau anda dah habiskan bacaan ke perenggan ini, ulang semula ke perenggan 5, dan kalau boleh aku nak tahu, babak mana yang anda paling suka dalam filem Shaolin Soccer? heheee...

Facebook Pages

 
Lifestyle BlogsReal Time Web Analytics
Copyright © 2009-2017 padinrose - Tips, Hobi dan Motivasi, All rights reserved | Disclaimer | Sitemap